Saturday, 17 September 2011

Sistem pengangkutan awam menjana pembangunan negara

DI Stockholm, ibu negara Sweden, pemandangan warga kotanya yang tinggal dalam lingkungan 10 kilometer berbasikal ke pejabat adalah perkara biasa. Kenderaan persendirian hanya dilihat menghiasi garaj kerana rata-rata masyarakatnya - selain berbasikal lebih selesa menggunakan pengangkutan awam.
Di Shanghai, China pula, kerajaan tempatannya menerapkan elemen penggunaan secara maksimum pengangkutan awam di kalangan warganya. Namun di Malaysia, situasinya sangat berbeza, dengan pengangkutan awam dilihat sebagai sebuah sistem yang beroperasi dengan kurang cekap dan berkesan.

Kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam bermula daripada kaunter tiket selain perkhidmatan yang pantas, maklumat yang baik, kemudahan tempahan, pilihan laluan serta ketepatan waktu, gagal dijadikan sebagai petunjuk penting bagi menjamin pengguna terus menggunakan pengangkutan awam.

Pelbagai isu dibangkitkan saban waktu, antaranya ketidakcekapan pengurusan operasi, keadaan kenderaan awam yang tidak selesa, ketiadaan khidmat pengangkutan awam di kawasan kepadatan penduduk tinggi dan mutu perkhidmatan yang tidak bersifat mesra pengguna, menjadikan kemudahan pengangkutan awam pilihan terakhir bagi pengguna.

Namun, dalam menghadapi tekanan akibat kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen yang berkuat kuasa 5 Jun lalu, rakyat terutamanya yang mendiami bandar-bandar besar, berusaha mencari pelbagai ruang alternatif untuk berjimat-cermat.

Keadaan ini tidak memberikan banyak pilihan kepada rakyat, apatah lagi menyedari kesan berantai seiring dengan kenaikan minyak yang secara langsung turut melonjakkan harga barang dan perkhidmatan dalam pasaran. Lantaran menyedari perlunya mengawal perbelanjaan waktu ini, mahu tidak mahu, penggunaan kemudahan awam yang sedia ada seperti bas, komuter, Transit Aliran Ringan (LRT), Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), monorel, dan teksi, terpaksa diaplikasikan.

PERKHIDMATAN BAS

Semenjak perkhidmatan bas awam diperkenalkan secara sistematik pada tahun 1935 oleh General Transport Company milik British, operasi pengangkutan bas awam dibiayai sepenuhnya oleh pengusaha swasta. Tidak dinafikan, perkhidmatan pengangkutan bas awam di Malaysia telah melalui tahun-tahun yang cemerlang.

Namun kini, kecemerlangan tersebut tidak lagi dinikmati.
Sejarah pengangkutan bas awam yang pernah muncul dan lenyap di Kuala Lumpur seperti Sri Jaya, Toong Foong, Len Chee, Foh Hup, KL Klang, Naiela, Selangor Bus, Cityliner dan Park May, dahulunya dikendalikan oleh pengusaha persendirian tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

Malangnya, akibat daripada situasi yang menekan negara menyebabkan banyak syarikat bas terpaksa memberhentikan perkhidmatan mereka kerana kos operasi yang tidak lagi dapat ditanggung memandangkan kali terakhir tambang bas henti-henti dinaikkan ialah pada 2005, iaitu daripada 40 sen kepada 60 sen untuk dua kilometer.

Di Pulau Pinang, seluruh sistem pengangkutan bas menjadi lumpuh apabila syarikat Hin Bus, Yellow Bus, Lim Seng Bus, Kenderaan Juara, Kiara Tuah dan Kiara Melati menamatkan perkhidmatan. Nasib malang tersebut turut dialami syarikat-syarikat bas di Selangor seperti Foh Hup Omnibus, Toong Fong Bus dan Len Bus yang terpaksa gulung tikar.

Keadaan tidak kurang buruknya di Kedah dan Perlis. Syarikat perkhidmatan bas awam utama negeri-negeri tersebut iaitu Kubang Pasu Transport, Perlis Transport dan Kuala Kedah Transport mungkin terpaksa menamatkan perkhidmatan sekiranya situasi tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Pihak kerajaan pernah mengambil langkah pembaikan melalui konsortium pengangkutan sekitar lewat 90-an dahulu. Menerusi penggabungan beberapa syarikat bas di Lembah Klang di bawah Intrakota Consolidated dan Park May Berhad, langkah tersebut juga tidak membawa hasil yang menggalakkan.

Beban perbelanjaan modal yang terlalu besar akibat daripada kos pembelian bas daripada luar negara, kos alat-alat ganti yang terpaksa diimport dan kos penyelenggaraan kenderaan yang tinggi terpaksa ditanggung.

Bilangan bas yang tidak mencukupi selain sistem pemandu perseorangan yang tidak efektif, pemandu yang tidak mencukupi dan pelbagai masalah logistik, menyebabkan kelewatan perjalanan selain mampu mengundang bahaya ketika di jalan raya.

Semua kesulitan ini mengecewakan para pengguna yang bergantung kepada bas sebagai satu-satunya kaedah pengangkutan mereka. Mereka bukan sahaja perlu menanggung kadar tambang yang tinggi dan tidak berbaloi, tetapi juga terpaksa berhadapan dengan perkhidmatan bas yang tidak menentu.

Penggunaan bas yang telah berusia sebagai langkah pengurangan kos sebaliknya, menimbulkan masalah-masalah lain pula seperti keadaan bas yang usang dengan bumbung bocor, kerusi yang patah dan koyak, penghawa dingin yang tidak berfungsi, palang cermin yang patah dan pelbagai lagi. 

~amelia

No comments:

Post a Comment