Komputer merupakan satu alat yang mempunyai peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara. Memandangkan penggunaannya begitu meluas meliputi bidang ekonomi, politik, dan sosial, tentunya komputer merupakan pemangkin di dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju menjelang 2020.
Dewasa ini, penggunaan komputer kian meluas terutama sekali dalam pentadbiran negara. Dengan adanya komputer membolehkan sistem pentadbiran sesebuah syarikat atau negara menjadi lebih cekap dan pantas. Kebolehan komputer menyampaikan maklumat, menyusun data, dan menganalisis dengan lebih sistematik tentunya dapat mengurangkan kesilapan manusia. Hal ini sekaligus dapat membantu dalam hal-hal yang melibatkan pembuatan keputusan di samping menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan komputer sememangnya dapat membantu dalam mewujudkan suatu organisasi yang tersusun.
Tidak dinafikan bahawa komputer kini turut berperanan dalam bidang pendidikan di negara kita. Penggunaan komputer mampu memenuhi permintaan kerajaan bagi melahirkan generasi yang lebih berpengetahuan luas dalam bidang saintifik. Kebolehan komputer memuatturunkan informasi dengan mudah membolehkan sesuatu ilmu dapat disampaikan dengan mudah dan cepat. Pelajar pula tentu lebih berminat terhadap pembelajaran memandangkan pendekatan pembelajaran yang baru adalah lebih bersifat dua hala. Murid tidak lagi hanya kaku dan diam di dalam kelas tetapi kini mampu melibatkan diri secera proaktif. Menyedari hakikat ini, rancangan kerajaan mewujudkan sekolah pintar yang dilengkapi dengan alat bantuan mengajar seperti komputer perlu diberi pujian dan sokongan. Kewujudan sekolah-sekolah sebegini akan melahirkan pelajar-pelajar yang lebih prihatin dan mahir dalam penggunaan teknologi moden.
Komputer juga berperanan penting dalam pembentukan masyarakat yang berinformatif. Penggunaan komputer dapat mengelakkan sesuatu bangsa daripada ketinggalan malahan lebih peka terhadap perkembangan isu-isu semasa. Kegunaan komputer tampak lebih jelas lagi pada era Internet dan teknologi maklumat. Kemunculan Internet memudahkan perhubungan di samping membantu dalam proses mendapatkan maklumat. Di Malaysia sahaja dianggarkan lebih satu per tiga pengguna Internet dan ini boleh mewujudkan pelbagai peluang perdagangan dan kerjasama serantau. Sejajar dengan itu, cara berfikir sesuatu bangsa dapat diubah kerana secara tidak langsung penggunaan komputer membentuk masyarakat yang berfikir, intelek, dan bijak mengambil peluang.
Selain itu, kegunaan komputer terutamanya menerusi Internet mampu memajukan lagi ekonomi negara. Penggunaan komputer memudahkan urusan jual beli dan mempercepat lagi usaha pencarian bidang kerjasama antara dua pihak. Sekaligus, penggunaan komputer menyediakan satu pasaran yang cukup luas dan menguntungkan pelabur-pelabur. Sesuatu barangan dapat dipromosikan dengan lebih cekap dan mudah tanpa melibatkan media massa yang memakan belanja berlipat ganda seperti radio dan televisyen. Hal ini semestinya akan meningkatkan daya saing syarikat tempatan dalam merebut peluang di bidang perdagangan antarabangsa.
Dalam usaha membangunkan negara, komputer turut menyumbangkan peranan melalui usaha pemindahan teknologi asing. Maklumat-makiumat dari negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat, dan Korea sudah tentu mudah dibawa masuk untuk dipraktikkan. Dalam hal ini, bahagian penyelidikan dan pembangunan sesebuah syarikat seharusnya menggarap peluang ini semaksima mungkin untuk mengembangkan lagi potensi syarikat. Secara tidak langsung, komputer membantu dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.
Menyedari hakikat ini, kerajaan kini telah pun menubuhkan gerbang maklumat Koridor Raya Multimedia iaitu sebuah pusat pengumpulan maklumat yang pertama di dunia. Penubuhan pusat ini sememangnya menguntungkan memandangkan pada masa sekarang Malaysia merupakan tumpuan dunia. Ini akan membuka mata dunia supaya lebih menghormati Malaysia dan akan menjulang nama Malaysia terutamanya dalam bidang informasi dan teknologi komunikasi.
Komputer merupakan nadi pembangunan negara. la banyak membantu dalam perkembangan ekonomi dan sahsiah di samping•menggalakkkan perkembangan bidang perindustrian dan perkhidmatan. Oleh itu penggunaannya haruslah diperluas lagi agar seluruh rakyat sama ada di bandar mahupun luar bandar sama-sama menikmati hasilnya.
~amelia
No comments:
Post a Comment