Saturday, 17 September 2011

Masalah Pengangkutan Awam Di Negara Kita


Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
.
..........Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang agak mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan awam tersebut.
.
...........Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan amalan pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan kerana penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan awam turut dirasai.
.
..........Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh. Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider bus” di kawasan itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya di antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
..
..........Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang kenderaan tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Justeru, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
.
..........Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan baik agar pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi “indah khabar dari rupa”.
.
..........Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil berat oleh pihak yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan tanpa sebarang tindakan, kita bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai salah satu pengangkutan utama di negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat ditagih dan pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini dan bukan bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.
~amelia

Rumah Terbuka

Kebelakangan ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam kalangan rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep rumah terbuka ini memang perlu diteruskan dan dijadikan amalan kerana banyak kebaikannya. Dengan adanya rumah terbuka, mudahlah seseorang itu untuk mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan kerana tarikh dan masanya sudah ditetapkan. Seterusnya amalan ini sudah tentu akan mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama anggota masyarakat. Hal ini pasti akan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni seperti kata pepatah, "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat".

Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara kita. Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini akan dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu, iaitu "Tak kenal maka tak cinta".

Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum akan memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama, walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan agama. Sebagai contohnya, orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Jadi, mereka akan dapat mempelajari budaya dan adat resam kaum lain dan berusaha untuk memahaminya. Perkara ini sudah tentu akan mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita.

Selain kebaikan, terdapat juga keburukannya kerana rumah terbuka akan menimbulkan masalah untuk menjaga kebersihan di tempat rumah terbuka itu diadakan. Hal ini disebabkan oleh sikap tetamu yang hadir, iaitu tidak mementingkan aspek kebersihan. Mereka tidak menghiraukan aspek kebersihan dan membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di merata-rata tempat. Perkara ini akan menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir dan menyusahkan pihak penganjur untuk membersihkannya. Oleh itu, perkara ini perlulah diberikan perhatian agar tetamu yang hadir akan menjaga aspek kebersihan dan tidak mengotorkan tempat itu.

Keburukan lain akibat penganjuran rumah terbuka adalah terdapat pihak yang mementingkan diri dan tidak menghiraukan orang lain. Perkara ini akan menimbulkan masalah dan kesulitan kepada orang lain yang turut hadir dalam majlis itu. Ada tetamu yang berebut-rebut semasa mengambil makanan atau bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak. Sekiranya mereka menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak menimbulkan masalah, tetapi perkara yang berlaku ialah mereka tidak menghabiskan makanan tersebut. Hal ini sudah tentu menyebabkan pembaziran berlaku, sedangkan ada orang lain yang mungkin tidak mendapat makanan langsung.

Oleh hal yang demikian, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Konsep rumah terbuka sudah tentu banyak mendatangkan kebaikan jika difahami dan dihayati oleh anggota masyarakat. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan rumah terbuka akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu seperti kata pepatah,"Rumah siap pahat berbunyi" apabila menganjurkan rumah terbuka. Jadi, semua anggota masyarakat haruslah memahami dan menghayati konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar hasrat yang dicita-citakan akan dapat dicapai.

~amelia

Punca-punca dan cara mengatasi kemalangan jalan raya

Assalamualaikum. Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berbahagia Tuan Pegawai Daerah Kubang Pasu, pegawai polis trafik, dan hadirin yang dihormati sekalian. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah dalam majlis ini. 
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kes kemalangan jalan raya menjelang hari raya semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Pada tahun-tahun lepas kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri tidak sebanyak pada tahun lepas. Terdapat banyak punca yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya di negara kita.
Antara punca utama kemalangan itu ialah kebanyakan pemandu tidak mempunyai lesen memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan lesen memandu yang palsu. Oleh itu, apabila tidak memiliki lesen yang sah, maka pemandu tersebut sudah semestinya tidak cekap dan tidak biasa memandu kenderaan. Hal ini akan mengakibatkan kemalangan. Setiap pemandu harus mempunyai lesen kenderaan kerana sebelum seseorang itu memperoleh lesen memandu, mereka telah didedahkan dengan teknik pemanduan yang betul. Malah apabila mereka lulus ujian pemanduan barulah mereka dianggap layak memandu kenderaan. Oleh itu seseorang yang masih tidak mempunyai lesen memandu dinasihatkan agar tidak memandu kenderaan di jalan raya.
Selain itu, kebanyakan kes kemalangan jalan raya juga berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mengantuk. Biasanya keadaan mengantuk ini berlaku ketika tengah hari dan sebelah malam. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk besar kemungkinan terlelap seketika semasa memandu. Seterusnya mengakibatkan kenderaan mereka terbabas ataupun melanggar kenderaan lain pada arah yang bertentangan. Saya amat berharap agar para pemandu memastikan mereka tidak mengantuk semasa memandu kenderaan mereka. Sekiranya pemandu mengantuk mereka dinasihatkan supaya berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.
Para hadirin sekalian,
Kemalangan juga boleh berlaku apabila pemandu dalam keadaan mabuk. Kemampuan pemandu untuk mengawal kenderaan mereka akan menjadi berkurangan apabila mereka mabuk. Hal ini kerana mereka memandu dalam keadaan berkhayal. Kenderaan yang dipandu mungkin akan membelok ke kiri dan ke kanan sehingga menyebabkan kemalangan. Lebih malang lagi jika kecuaian pemandu ini melibatkan kemalangan kepada pihak lain. Saya juga berpesan kepada semua hadirin agar tidak sekali-kali memandu dalam keadaan mabuk. Ia bukan sahaja membahayakan nyawa anda malahan pengguna jalan raya yang lain.
Kita seharusnya memandu kenderaan yang sempurna sifatnya. Sebelum memandu kenderaan, kita mesti memeriksa kenderaan kita supaya selamat untuk dipandu. Contohnya, keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, dan lampu berada dalam keadaan baik. Terdapat pemandu yang tidak menghiraukan masalah ini. Mereka mengabaikan kesempurnaan kereta mereka. Contohnya, mereka tidak mengganti tayar yang haus. Apabila tayar kita sudah haus, sudah tentu daya cengkaman kenderaan itu akan berkurangan. Hal ini lebih membahayakan ketika hujan kerana sewaktu hujan, cengkaman tayar dengan jalan raya semakin berkurangan. Jelas di sini, tayar yang haus boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Bagi mengatasi masalah ini, pihak polis trafik telah mengadakan pelbagai usaha bagi mengurangkan lagi kadar kemalangan jalan raya. Usaha yang dilakukan nampaknya masih kurang berkesan. Pihak kami sering mengadakan kempen keselamatan jalan raya terutama sempena sambutan hari raya. Hal ini kerana kami telah mendapat maklumat bahawa kejadian kemalangan jalan raya semasa musim perayaan meningkat dengan mendadak berbanding hari-hari lain. Hal ini kerana semua rakyat di Malaysia akan melakukan perjalanan jauh sarna ada pulang ke kampung ataupun pergi melancong. Kempen-kempen yang dilakukan tertumpu di jalan-jalan utama di seluruh negara. Melalui kempen ini sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya.
Pada tahun lepas, Menteri Besar Kedah telah menyertai kempen keselamatan jalan raya. Kempen ini telah diadakan di lebuh raya Bukit Kayu Hitam-Sungai Petani. Ketika beliau berucap, beliau telah menekankan kesedaran kepada para pemandu agar memandu kenderaan mereka dengan cermat. Malah beliau juga turut memberikan baju keselamatan kepada penunggang motosikal. Kempen ini sekurang-kurangnya berjaya memberikan sedikit pengetahuan kepada pengguna jalan raya.
Pihak polis trafik juga telah memasang kamera perangkap kelajuan. Kami telah memasangnya di tempat-tempat yang strategik iaitu kawasan yang biasanya dipandu laju oleh pemilik kenderaan. Jika mereka memandu dengan kelajuan melebihi 110 km sejam, justeru kamera perangkap kelajuan ini akan merakam gambar kereta dan pemandunya. Selepas disemak oleh pegawai kami, dan didapati mereka telah melanggar had kelajuan yang dibenarkan, pihak kami akan menghantar surat sama kepada pemiliknya. Cara ini telah dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama di Lebuh Raya Utara-Selatan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pasukan polis trafik bertugas selama 24 jam di sekitar jalan raya utama di negara ini. Mereka akan memastikan agar pemandu tidak membawa kenderaan mereka dengan laju atau secara berbahaya. Jika para pemandu memandu kenderaan mereka dengan laju, mereka boleh disaman ataupun kenderaan mereka boleh ditahan. Banyak saman telah dikeluarkan oleh pasukan polis trafik melalui cara sebegini terutamanya di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan di Johor Bahru.
Jelaslah bahawa kemalangan jalan raya sebenarnya berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri. Seandainya pemandu itu berhati-hati ketika memandu maka kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Tetapi seandainya pemandu itu masih lagi berdegil dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya justeru kadar kemalangan ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Oleh itu saya berharap agar setiap yang hadir ini menyedari pentingnya kita berhemah semasa memandu di jalan raya. Saya juga berharap perkara ini dapat disebarkan kepada orang lain yang tidak menghadiri majlis ini.
Sebelum saya mengundurkan diri besarlah harapan saya agar kemalangan jalan raya di negara ini dapat dikurangkan. Sekian, terima kasih.
~amelia

Jenayah di kalangan remaja


Golongan remaja boleh didefinisikan sebagai satu golongan peralihan iaitu peralihan dari segi sikap, fizikal, mental, emosi, rohani, dan jasmani daripada golongan atau alam kanak-kanak ke alam dewasa. Golongan ini merangkumi individu lelaki dan perempuan yang berusia dalam lingkungan umur tiga belas hingga dua puluh tahun. Atas hakikat inilah maka sesetangah remaja masih lagi terikut-ikut dengan gaya hidup kanak-kanak dan sesetengahnya pula mahu kelihatan matang seperti orang dewasa. Hal ini mengakibatkan golongan remaja semakin tersepit dalam arus pemodenan negara dan akhirnya muncullah golongan remaja yang terjerumus dalam kegiatan jenayah dan masalah sosial.
Masyarakat pasti akan menyalahkan ibu bapa remaja yang terbabit sekiranya berlaku kegiatan jenayah yang dilakukan oleh remaja tanpa memikirkan punca masalah itu berlaku. Memang tidak dapat dinafikan bahawa punca utama masalah ini datangnya daripada masalah rumah tangga. Kajian mendapati hampir tujuh puluh peratus remaja yang terlibat dalam kegiatan jenayah terdiri daripada keluarga yang porakperanda iaitu ibu bapa yang sudah bercerai. Remaja terbabit merasakan bahawa mereka sudah kehilangan tempat untuk mengadu segala masalah dan malu untuk menghadapi masyarakat.
Pengaruh-pengaruh luaran dan dalaman juga mungkin menyebabkan remaja terbabit dalam kegiatan jenayah. Dalam proses memajukan negara, kita disogokkan dengan pelbagai rancangan dan artikel yang kurang bermutu dari Barat yang bertentangan dengan ajaran agama dan budaya kita. Hal ini dilakukan melalui media-media elektronik mahupun media cetak. Rancangan dari Barat menonjolkan ciri-ciri keganasan yang sesuai dengan jiwa remaja yang kuat memberontak. Hal ini akan mengakibatkan remaja yang menonton rancangan tersebut akan terpengaruh dengan adegan ganas yang sesuai dengan naluri mereka yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru.
Remaja tidak akan melakukan jenayah sekiranya wujud kesedaran bahawa kegiatan tersebut menyalahi undang-undang negara, melanggar batas agama, dan budaya bangsa remaja itu sendiri. Hal ini jelas terbukti apabila seorang remaja di bawah umur ditangkap kerana mengedar dadah dan setelah dibicarakan didapati remaja ini tidak mengetahui bahawa perbuatannya merupakan satu jenayah serta telah melanggar undang-undang. Hal ini jelas menunjukkan bahawa selain kurangnya kesedaran, remaja masa kini.juga terlalu cetek dari segi didikan rohani dan jasmani. Kata pepatah Melayu yang berbunyi ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ amat bertepatan sekali dengan isu ini. Jika remaja terdidik dengan ajaran agama yang sempurna, peristiwa atau kegiatan jenayah tentu dapat dikurangkan.
Hiburan yang terdapat di negara ini juga mengakibatkan remaja cenderung untuk melakukan jenayah. Konsert-konsert mega antis luar negara mahupun tempatan secara langsung yang diadakan di negara kita juga salah satu penyebab kepada keadaan ini. Melalui konsert seumpama ini, pengaruh budaya kuning dilihat telah meresap ke dalam sanubari remaja di Malaysia melalui cara berpakaian, pergaulan, pertuturan, dan sebagainya. Apa yang paling menyedihkan, melalui konsert seperti ini jugalah rokok-rokok, pil khayal; dan minuman keras diedarkan dan ini akan melekakan remaja terbabit.
Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan seharusnya mengetatkan undang-undang kepada penjenayah terutama penjenayah juvana dan mengadakan kempen-kempen yang sesuai kepada remaja terbabit. Masyarakat juga harus menyahut seruan kerajaan iaitu untuk melahirkan masyarakat dan keluarga penyayang antara satu sama lain. Akhir sekali, remaja seharusnya bangkit dan sedar untuk merebut segala peluang yang ada untuk memajukan bangsa dan negara.

Peranan komputer dalam pembangunan negara


Komputer merupakan satu alat yang mempunyai peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara. Memandangkan penggunaannya begitu meluas meliputi bidang ekonomi, politik, dan sosial, tentunya komputer merupakan pemangkin di dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju menjelang 2020.
Dewasa ini, penggunaan komputer kian meluas terutama sekali dalam pentadbiran negara. Dengan adanya komputer membolehkan sistem pentadbiran sesebuah syarikat atau negara menjadi lebih cekap dan pantas. Kebolehan komputer menyampaikan maklumat, menyusun data, dan menganalisis dengan lebih sistematik tentunya dapat mengurangkan kesilapan manusia. Hal ini sekaligus dapat membantu dalam hal-hal yang melibatkan pembuatan keputusan di samping menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan komputer sememangnya dapat membantu dalam mewujudkan suatu organisasi yang tersusun.
Tidak dinafikan bahawa komputer kini turut berperanan dalam bidang pendidikan di negara kita.            Penggunaan komputer mampu memenuhi permintaan kerajaan bagi melahirkan generasi yang lebih berpengetahuan luas dalam bidang saintifik. Kebolehan komputer memuatturunkan informasi dengan mudah membolehkan sesuatu ilmu dapat disampaikan dengan mudah dan cepat. Pelajar pula tentu lebih berminat terhadap pembelajaran memandangkan pendekatan pembelajaran yang baru adalah lebih bersifat dua hala. Murid tidak lagi hanya kaku dan diam di dalam kelas tetapi kini mampu melibatkan diri secera proaktif. Menyedari hakikat ini, rancangan kerajaan mewujudkan sekolah pintar yang dilengkapi dengan alat bantuan mengajar seperti komputer perlu diberi pujian dan sokongan. Kewujudan sekolah-sekolah            sebegini akan melahirkan pelajar-pelajar yang lebih prihatin dan mahir dalam penggunaan teknologi moden.
Komputer juga berperanan penting dalam pembentukan masyarakat yang berinformatif. Penggunaan      komputer dapat mengelakkan sesuatu bangsa daripada ketinggalan malahan lebih peka terhadap   perkembangan isu-isu semasa. Kegunaan komputer tampak lebih jelas lagi pada era Internet dan teknologi maklumat. Kemunculan Internet memudahkan perhubungan di samping membantu dalam proses mendapatkan maklumat. Di Malaysia sahaja dianggarkan lebih satu per tiga pengguna Internet dan ini boleh mewujudkan pelbagai peluang perdagangan dan kerjasama serantau. Sejajar dengan itu, cara berfikir sesuatu bangsa dapat diubah kerana secara tidak langsung penggunaan komputer membentuk masyarakat yang berfikir, intelek, dan bijak mengambil peluang.
Selain itu, kegunaan komputer terutamanya menerusi Internet mampu memajukan lagi ekonomi negara. Penggunaan komputer memudahkan urusan jual beli dan mempercepat lagi usaha pencarian bidang kerjasama antara dua pihak. Sekaligus, penggunaan komputer menyediakan satu pasaran yang cukup luas dan menguntungkan pelabur-pelabur. Sesuatu barangan dapat dipromosikan dengan lebih cekap dan mudah tanpa melibatkan media massa yang memakan belanja berlipat ganda seperti radio dan televisyen. Hal ini semestinya akan meningkatkan daya saing syarikat tempatan dalam merebut peluang di bidang perdagangan antarabangsa.
Dalam usaha membangunkan negara, komputer turut menyumbangkan peranan melalui usaha pemindahan teknologi asing. Maklumat-makiumat dari negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat, dan Korea sudah tentu mudah dibawa masuk untuk dipraktikkan. Dalam hal ini, bahagian penyelidikan dan pembangunan sesebuah syarikat seharusnya menggarap peluang ini semaksima mungkin untuk mengembangkan lagi potensi syarikat. Secara tidak langsung, komputer membantu dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.
Menyedari hakikat ini, kerajaan kini telah pun menubuhkan gerbang maklumat Koridor Raya Multimedia iaitu sebuah pusat pengumpulan maklumat yang pertama di dunia. Penubuhan pusat ini sememangnya menguntungkan memandangkan pada masa sekarang Malaysia merupakan tumpuan dunia. Ini akan membuka mata dunia supaya lebih menghormati Malaysia dan akan menjulang nama Malaysia terutamanya dalam bidang informasi dan teknologi komunikasi.
Komputer merupakan nadi pembangunan negara. la banyak membantu dalam perkembangan ekonomi dan sahsiah di samping•menggalakkkan perkembangan bidang perindustrian dan perkhidmatan. Oleh itu penggunaannya haruslah diperluas lagi agar seluruh rakyat sama ada di bandar mahupun luar bandar sama-sama menikmati hasilnya.
~amelia

Kebaikan rumah terbuka


Sebagai sebuah negara majmuk, penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum mengamalkan bahasa, agama, dan budaya yang berlainan. Oleh hal yang demikian, maka wujudlah pelbagai perayaan yang disambut oleh penduduk Malaysia sepanjang tahun. Sebenarnya, inilah ciri-ciri keunggulan kita sebagai sebuah negara majmuk.
Justeru, majlis rumah terbuka diadakan setiap kali tiba musim perayaan. Kini majlis rumah terbuka telah menjadi suatu kecenderungan aliran yang popular dalam kalangan masyarakat negara in Konsep rumah terbuka ini memberikan peluang kepada setiap rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan perayaan sesuatu kaum yang lain.
Secara tidak langsung, kecenderungan ini dapat mengeratkan silaturahim dan mencerminkan identiti masyarakat Malaysia yang harmonis di mata pelancong asing. Hal ini demikian kerana terdapat negara-negara lain yang mempunyai penduduk majmuk seperti di negara kita juga tetapi gagal mencapai tahap perpaduan seperti kita. Malah, rakyat negara berkenaan sentiasa bercakaran sesama sendiri.
Asal usul majlis rumah terbuka ini dapat dirintis kembali kepada adat budaya dan konsep seruan beragama anutan setiap kaum di Malaysia. Tanpa mengira mana-mana perayaan, sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavati, Hari Natal, Pesta Keamatan, Pesta Gawai dan sebagainya, masing-masing tetap menyambutnya dengan cara yang tersendiri.
Sesungguhnya, proses pembudayaan yang wujud dalam konsep rumah terbuka menyaksikan pertembungan antara dua atau lebih budaya. Sebagai akibatnya, akan berlakulah proses asimilasi dan penyerapan unsur-unsur kebudayaan oleh sesuatu kaum minoriti daripada kaum majoriti. Umpamanya, banyak unsur budaya Melayu yang akan diterima secara tidak langsung sebagai unsur budaya kaum Iban, Kadazan, dan Murut ekoran majlis-majlis rumah terbuka yang diadakan saban tahun.
Tambahan lagi, melalui amalan rumah terbuka, kaum-kaum yang berlainan akan lebih memahami antara satu dengan yang lain. Selain mengenal juadah kaum-kaum lain, mereka akan didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka. Secara tidak langsung semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi. Sikap toleransi ini amat penting demi keutuhan negara kita.
Kesimpulannya. Amalan rumah terbuka semasa menyambut perayaan pelbagai kaum di Malaysia seharusnya dijadikan suatu tradisi kehidupan rakyat negara ini. Malah, amalan sedemikian rupa menjadi identiti masyarakat majmuk Malaysia yang tiada tolok bandingnya dengan negara-negara lain.
~amelia

Kebaikan e-pembelajaran dalam bidang pendidikan


Melalui konsep e-pembelajaran atau e-learning yang diperkenalkan ini, guru dan murid tidak perlu lagi berinteraksi secara empat mata. Sebaliknya, proses berinteraksi berupaya dilakukan pada jarak yang tiada sempadan dan kekangan, iaitu hanya perlu menggunakan komputer dan internet sebagai medium.
Sungguhpun demikian, pengaplikasian e-pembelajaran tidak bermaksud proses pembelajaran akan menjadi lebih longgar dan kurang pengawasan hingga boleh menjejaskan kualiti pendidikan yang disampaikan. Sebaliknya, e-pembelajaran merangkum suatu program yang mapan, bukan saja mampu mengekalkan kualiti pendidikan, malah mampu menjadi lebih terancang dan fleksibel jika diukur dan aspek penilaian prestasi pelajaran dan pembelajaran yang dilangsungkan.
Konsep ini merupakan enjin e-pembelajaran mengikut masa sebenar yang dibangunkan bagi mewujudkan kitaran pembelajaran yang menyamai proses pengajaran dan pembelajaran secara fizikal, seperti yang diamalkan di sekolah. Pada masa yang sama, konsep e-pembelajaran dapat mengenal pasti kelemahan setiap pelajar juga. Proses mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pelajar ini dapat dilaksanakan melalui latihan dan profil pelbagai cumber pembelajaran. Malah, melalui latihan yang dijalankan melalui talian, enjin ini mampu membuat penilaian terhadap kemampuan para pelajar dalam setiap komponen dalam satu-satu mata pelajaran.
Misalnya, dalam pelajaran Bahasa Inggeris, para pelajar akan diberi ujian dalam setiap komponen yang terdapat dalam subjek tersebut, termasuklah aspek tatabahasa, pemahaman, dan sebagainya. Seterusnya, keputusan semua ujian tersebut akan dianalisis secara automatik untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap pelajar.
Pada masa yang sama, enjin ini juga turut menyediakan kemudahan kepada para guru untuk mengubahsuai sistem sedia ada mengikut kesesuaian proses pengajaran mereka. Misalnya, guru dapat menyesuaikan beberapa pilihan jawapan yng betul dan dapat diterima untuk satu-satu soalan berbentuk subjektif. Beberapa kata kunci tertentu akan dimasukkan ke dalam sistem oleh guru yang terlibat bagi membolehkan sistem tersebut menandakan jawapan yang diberikan oleh pelajar mengikut kehendak guru yang berkenaan.
~amelia